Imbasan Program Jom Baca Bersama 10 Minit: Membaca Membina Bangsa

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi atas kelancaran program Jom Baca Bersama 10 Minit bagi tahun 2026 yang telah berlangsung dengan penuh meriah baru-baru ini.

Program yang bertemakan "Membaca Membina Bangsa" ini telah berjaya menyatukan warga pendidik dan murid-murid dalam satu ruang ilmu yang sangat bermanfaat.

Kehadiran Tn. Hj. Roland@Rozaidi bin Abu Hassan, Timbalan Pengarah Kanan (Kluster Khidmat Latihan) yang Menjalankan Tugas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), telah menambah seri dan memberi suntikan semangat buat semua peserta. Dalam ucapannya, beliau menekankan betapa pentingnya amalan membaca dijadikan gaya hidup konsisten, bukannya sekadar aktiviti bermusim, demi melahirkan generasi yang berdaya saing.

Suasana di Sekolah Kebangsaan Tekir, Sekolah Kebangsaan Labu Ulu, SJK(C) Kampung Baru Batu 8, dan SJK(T) Ladang Kirby pada pagi tersebut sangat menggembirakan anak-anak murid yang terlibat. Melihat anak-anak kecil dan para guru duduk bersama menyelami helaian buku selama 10 minit secara serentak membuktikan bahawa semangat cintakan ilmu masih tebal dalam jati diri kita.

Pihak IAB merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini pada Rabu 22 April 2026. Semoga usaha kecil ini meninggalkan impak besar dalam sanubari setiap murid dan terus menyuburkan budaya membaca di seluruh negara.