Kolokium Kebangsaan Kepimpinan Instruksional ke-17 (KKKI ke-17) telah berlangsung dari 3 hingga 5 September 2024 bertempat di Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Jitra, Kedah. Majlis perasmian KKKI ke-17 telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Hj Azman bin Hj Adnan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Turut hadir Encik Ab Aziz bin Mamat, Pengarah Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Hj Faudzi bin Saad, Pengarah Cawangan Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara. Tema KKKI ke-17 adalah 'Kepimpinan Instruksional Peneraju Pembelajaran Digital' manakala objektif KKKI ke-17 ialah:
i. meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi pemimpin pendidikan dalam bidang kepimpinan instruksional dan pembelajaran digital;
ii. berkongsi amalan terbaik dalam kepimpinan instruksional dan pembelajaran digital yang menyumbang kepada peningkatan kecemerlangan akademik, sahsiah dan kokurikulum murid;
iii. menyediakan ruang perbincangan dan kerjasama bagi meningkatkan amalan kepimpinan instruksional dan pembelajaran digital dalam kalangan pemimpin pendidikan.
Sepuluh orang pengetua dan guru besar telah berkongsi amalan terbaik berkaitan peranan mereka sebagai pemimpin instruksional dalam memastikan pembelajaran digital dapat dilaksanakan dengan berkesan di sekolah masing-masing. Selain itu, KKKI ke-17 telah menampilkan kelainan berbanding dengan KKKI sebelum ini. Sepuluh pengetua dan guru besar berkenaan telah mengadakan showcase yang membolehkan mereka berkongsi dengan lebih mendalam projek yang dilaksanakan bersama-sama 150 peserta kolokium yang datang melawat showcase tersebut sepanjang KKKI ke-17 berlangsung. Satu lagi kelainan ialah KKKI kali ini telah menjemput dua orang panel diskusi dari negara jiran iaitu seorang dari Singapura, dan seorang lagi dari Indonesia.
Rumusannya KKKI ke-17 telah membawa kesan yang positif kepada para peserta yang hadir bersemuka. Mereka bukan sahaja dapat mendengar secara langsung pembentangan oleh pengetua dan guru besar tetapi juga dapat melihat sendiri evidens dan bahan-bahan pembelajaran yang disediakan oleh sekolah-sekolah terlibat. Di samping itu, KKKI ke-17 juga telah mendapat sambutan yang sangat baik secara dalam talian. Lebih 2000 pemimpin pendidikan mendaftar sebagai peserta secara dalam talian, manakala secara puratanya hampir 1000 penonton menyaksikan pembentangan amalan terbaik pada setiap slot KKKI ke-17 melalui saluran Youtube IABCU.